Wikiversity
Kandungan
Satelit atau satelit buatan pada asasnya merupakan suatu objek di angkasa yang berputar mengelilingi suatu objek lain yang lebih besar[1] dan kekal berada dalam graviti objek tersebut. Objek ini dipasangkan dengan alat menerima data dan isyarat dari suatu titik asal di bumi yang akan dihantarkan ke suatu titik jauh yang lain.[1] Satelit mempunyai pelbagai kegunaan, termasuk geganti komunikasi, ramalan cuaca, navigasi (GPS), penyiaran, penyelidikan saintifik dan pemerhatian Bumi. Kegunaan ketenteraan tambahan ialah peninjauan, amaran awal, perisikan isyarat dan, berpotensi, penghantaran senjata. Satelit lain termasuk peringkat roket akhir yang menempatkan satelit di orbit dan satelit yang dahulunya berguna yang kemudiannya tidak berfungsi
Pada asalnya, pengungkapan satelit merujuk kepada sebarang objek semula jadi yang mengikuti bintang siarah ("satelit" diakar Latin satelles "pengikut"[2]) seperti bulan kepada planet bumi yang sendirinya mengikuti kepada matahari; Johannes Kepler mula menggambarkan sedemikian dalam risalahnya mengenai empat bulan Musytari bertajuk Narratio de Observatis a se quatuor Iovis satellitibus erronibus ("Cerita Pemerhatian Empat Pengikut Legar Musytari") pada tahun 1610. Takrifan ini menyempit kepada jenis objek yang seciri tetapi dibina oleh manusia segera dengan pelancaran Sputnik 1 tahun 1957.[3]
Jenis satelit
Bentuk satelit buatan berbeza-beza mengikut tujuannya. Beratnya juga daripada beberapa kilogram (satelit nano) kepada beberapa tan.
- Satelit astronomi digunakan untuk memerhati dan mengkaji planet, bintang dan objek-objek jauh lain.
- Satelit komunikasi digunakan untuk tujuan telekomunikasi. Siaran radio dan televisyen boleh dipancarkan menggunakan frekuensi gelombang mikro. Kebanyakannya menggunakan orbit geosegerak atau orbit hampir geopegun, walaupun ada yang menggunakan orbit rendah bumi.
- Satelit pantau bumi digunakan untuk memantau permukaan bumi melalui orbit untuk tujuan pemerhatian alam sekitar, kaji cuaca atau pembuatan peta.
- Satelit pandu arah digunakan untuk navigasi dan pembuatan peta. Isyarat masa radio membolehkan pengguna mengetahui kedudukan mereka dengan tepat melalui sistem GPS.
- Satelit cuaca mencatat dan mengirimkan maklumat tentang keadaan cuaca dan iklim bumi.
- Stesen angkasa merupakan satu 'bangunan' untuk membolehkan manusia hidup di angkasa lepas. Stesen ini telah direka untuk membolehkan ia didiami selama beberapa bulan, bahkan beberapa tahun.
- Satelit ketenteraan merupakan satelit komunikasi atau satelit pantau bumi yang digunakan oleh pihak tentera.
- Satelit kecil seperti satelit mini (500 – 200 kg), satelit mikro (10 – 200 kg) dan satelit nano (di bawah 10 kg).
Orbit satelit
Orbit satelit juga berbeza dari jarak 117 km hingga ke 35,000 km di atas permukaan bumi mengikut tugas yang telah ditetapkan.
- Orbit rendah bumi (Low Earth Orbit, LEO): 200 – 1200 km
- Orbit medium bumi (Medium Earth Orbit, MEO atau ICO): 1200 - 35790 km
- Orbit geosegerak (Geosynchronous Orbit, GEO): 35790 km
- Orbit geopegun (Geostationary Orbit, GSO): sejenis orbit geosegerak
- Orbit tinggi bumi (High Earth Orbit, HEO): di atas 35790 km
Orbit-orbit berikut pula merupakan orbit khusus yang digunakan untuk mengkategorikan satelit:
- Orbit Molniya
- Orbit segerak matahari (Heliosynchronous)
- Orbit kutub
- Orbit pemindahan bulan (LTO)
Rujukan
- ^ a b Khairul Ikhwan Khamis (24 Januari 2022). "Apakah itu Satelit serta jenis dan fungsinya?". PakcikEngineer. Dicapai pada 18 November 2022.
- ^ Soeparno, E. P. (1993). "satelit". Glosarium: kata serapan dari bahasa barat dengan etimologinya. Semarang: Media Wiyata. m/s. 141.
- ^ "Early History – First Satellites". Makmal Perejangan Jet. NASA. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 February 2018. Dicapai pada 2018-02-08.