Type a search term to find related articles by LIMS subject matter experts gathered from the most trusted and dynamic collaboration tools in the laboratory informatics industry.
Glasnost (Rusia: гла́сность , [ˈglasnəsʲtʲ (bantuan·maklumat)] "keterbukaan") ialah dasar publisiti, keterbukaan dan ketelusan maksima dalam segala kegiatan institusi kerajaan dalam Kesatuan Soviet, diiringi kebebasan penerangan, yang diperkenalkan Mikhail Gorbachev. Istilah ini sering dipakai oleh Gorbachev untuk menggariskan dasar-dasar yang dipercayainya boleh mengurangkan gejala rasuah di peringkat atasan Parti Komunis dan kerajaan Soviet, serta membendung salah guna kuasa di Jawatankuasa Pusat.
Glasnost juga memaksudkan satu zaman tertentu yang kurangnya penapisan dan lebihnya kebebasan informasi dalam sejarah Kesatuan Soviet pada dekad 1980-an.
Istilah ini timbul pada tahun 1985-1990 sebagai sebahagian langkah-langkah reformasi bergelar perestroika, yang tujuannya termasuk membendung gejala rasuah dan salah guna keistimewaan oleh golongan politik. Secara amnya sekali, langkah ini bertujuan membebaskan kebebasan akhbar secara beransur-ansur, sambil membolehkan kebebasan pertentangan pendapat.[1] Dasar ini menghadapi tentangan ketika malapetaka Chernobyl tahun 1986, apabila pihak berkuasa menyembunyikan takat sebenar kesan kemalangan nuklear ini selama beberapa hari.
Melalui dasar glasnost ini, Gorbachev menggesa golongan konservatif dalam Parti Komunis yang menentang perestroika, iaitu rancangan-rancangan penstrukturan ekonominya. Dengan memupuk semangat keterbukaan intelek dan kebudayaan yang menggalakkan perbahasan dan penyertaan awam, Gorbachev berharap agar rakyat Soviet menyambut baik dasar perestroika.
Pelonggaran penapisan menyebabkan Parti Komunis makin hilang cengkamannya terhadap media massa. Lambat-laun, dengan rasa malu dirasai pihak berkuasa, media beransur-ansur mendedahkan masalah sosial dan ekonomi serius ang lama dinafikan dan disembunyikan kerajaan Soviet seperti perumahan kurang memuaskan, kekurangan makanan, ketagihan alkohol, pencemaran berleluasa, kenaikan kadar kematian dan taraf wanita sebagai kelas kedua mendapat perhatian ramai. Lebih-lebih lagi, rakyat dapat lebih mempelajari kezaliman yang dilakukan kerajaan ketika pimpinan Joseph Stalin. Walaupun Nikita Khrushchev mencemuh amalan pujaan tokoh Stalin, namun maklumat mengenai takat sebenar kezalimannya masih disorokkan. Keseluruhannya, pandangan amat memberangsangkan mengenai kehidupan Soviet yang sekian lama diwar-warkan kepada awam oleh media rasmi terpadam begitu sahaja, diganti aspek-aspek negatif kehidupan di Kesatuan Soviet, sekaligus menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem Soviet.
Keterbukaan politik ini terus meninggalkan kesan-kesan yang tidak diduga. Sesi pemilihan umum dewan-dewan setempat republik konstituen Kesatuan Soviet, dikuasai golongan nasionalis. Oleh sebab Gorbachev telah melemahkan sistem penindasan politik dalamannya, maka keupayaan kerajaan pusat Moscow mengawal republik-republik konstituen KRSS juga teruk terjejas. Pada 1980-an, kedengaran pula seruan kebebasan dari cengkaman Moscow yang semakin kuat dilaungkan, terutamanya di Republik-republik Baltik Estonia, Lithuania dan Latvia, yang diilhakkan oleh KRSS di bawah pimpinan Joseph Stalin pada tahun 1940. Sentimen nasionalis juga bangkit di republik-republik Soviet lain seperti Ukraine, Georgia dan Azerbaijan.
Sejak pertengahan 1980-an, negeri-negeri Baltik ini mengambil kesempatan dari pembaharuan glasnost untuk menyuarakan hak-hak mereka untuk melindungi alam sekeliling dan tinggalan sejarahnya, lama-kelamaan disusuli seruan kedaulatan dan kemerdekaan. Apabila mengharungi ancaman dari luar, negeri-negeri ini pula mendedahkan sikap Kremlin yang teragak-agak. Sambil menggalakkan fahaman pemisahan di republik-republik Soviet yang lain, bangsa-bangsa Baltik mencabar kewibawaan Kesatuan Soviet dengan bertubi-tubi. Dengan sokongan pemimpin Rusia Boris Yeltsin, maka republik-republik Baltik ini akhirnya memperoleh kedaulatan.
Kebangkitan nasionalisme hasil dari kesan glasnost turut menguatkan semula ketegangan etnik yang lama reda di seluruh kesatuan. Contohnya, pada bulan Februari 1988, Nagorno-Karabakh, sebuah rantau majoriti etnik Armenia di Republik Sosialis Soviet Azerbaijan, meluluskan ketetapan yang menyeru agar disatukan dengan Republik Sosialis Soviet Armenia. Keganasan terhadap penduduk Azeri tempatan turut dilaporkan oleh televisyen Soviet, sekaligus mencetuskan pembunuhan orang Armenia secara beramai-ramai di bandaraya Sumgait di Azerbaijan.
Kebebasan yang dijana dasar Glasnost membolehkan hubungan antara warga Soviet dan dunia barat dipertingkatan, terutamanya dengan Amerika Syarikat. Batasan keluar masuk negara dikurangkan untuk membolehkan hubungan niaga dan kebudayaan. Contohnya, satu tempat perjumpaan utama terletak di Bangunan Dakin, AS, yang ketika itu dimiliki seorang dermawan bernama Henry Dakin yang ramai sekali rakan-rakan dari Rusia:
Ketika lewat 1980-an, apabila dasar glasnost dan perestroika membawa kepada pembubaran empayar Soviet, Bangunan Dakin menjadi tempat beberapa kumpulan yang memudahkan hubungan Amerika Syarikat-Rusia, termasuklah Pusat Inisiatif A.S.-K.R.S.S yang membantu lebih 1000 orang Amerikan melawat Kesatuan Soviet, dan juga lebih 100 orang warga Soviet melawat A.S.[2]
Walaupun ribuan tahanan politik dan ramai lagi penentang dibebaskan atas semangat glasnost, namun matlamat asal Gorbachev untuk menggunakan glasnost dan perestroika bagi memperbaharui Kesatuan Soviet tidak kesampaian. Pada 1991, Kesatuan Soviet dibubarkan berikutan cubaan merampas kuasa yang gagal dijayakan oleh pihak konservatif yang menentang dasar-dasar Gorbachev.