Informatics Educational Institutions & Programs
Kandungan
Zigot (dari bahasa Yunani ζυγωτός zygōtos "tercantum" atau "terikat", daripada ζυγοῦνzygoun "mencantum" atau "mengikat"[1]) atau senyawa[2] merupakan sel yang mula-mula terbentuk apabila dua sel gamet dicantumkan secara pembiakan seks. Dalam organisma multisel, zigot merupakan tahap perkembangan terawal embrio. Bagi organisma bersel tunggal (unisel), zigotnya berpecah untuk melahirkan zuriat, lazimnya secara meiosis.
Zigot sentiasa dizahirkan daripada percantuman dua gamet, dan menjadi peringkat pertama dalam perkembangan sesebuah organisma individu. Zigot lazimnya dihasilkan dalam peristiea pensenyawaan antara dua sel haploid, iaitu sebiji ovum (gamet betina) dan seekor sel sperma (gamet jantan), yang bergabung untuk membentuk sebutir sel diploid. Zigot ini mengandungi DNA yang diwarisi daripada kedua-dua induk, dan inilah yang menyediakan segala maklumat genetik yang diperlukan untuk membentuk individu baru.
Bagi tumbuhan daratan, zigot terbentuk di dalam satu kebuk yang dipanggil arkegonium. Bagi tumbuhan tanpa benih, arkegoniumnya lazimnya berbentuk kelalang dengan leher yang panjang dan cembung yang dilalui oleh sel sperma. Di dalam arkegonium itulah zigot itu berpecah dan bertumbuh.
Dalam perkembangan haiwan, istilah zigot juga digunakan secara am untuk memaksudkan kelompok sel yang terbentuk oleh beberapa proses pembahagian sel yang terawal, namun ini sebenarnya dikenali sebagai morula.[3]
Dalam pembiakan mamalia, selepas pensenyawaan, zigot berjalan melalui tiub Fallopio sambil berpecah kepada berbilang sel[4] tanpa zigot itu sendiri berkembang besar. Perpecahan sel ini merupakan mitosis, dan dipanggil sigaran.[5] Semua mamalia pernah melalui peringkat zigot dalam hidup. Zigot mamalia akhirnya berkembang menjadi blastosista, selepas itu dikenali sebagai embrio, dan kemudiannya janin.
Zigot manusia wujud selama empat hari, kemudian menjadi blastosista pada hari kelima.[6]
Rujukan
- ^ "English etymology of zygote". myetymology.com.
- ^ Anisah Barakbah (2017). Ensiklopedia Perbidanan Melayu. Universiti Islam Malaysia Press. m/s. 36. ISBN 9789671330593.
- ^ Neas, John F. "Human Development" Diarkibkan 2013-07-06 di Wayback Machine. Embryology Atlas
- ^ O’Reilly, Deirdre. "Fetal development".MedlinePlus Medical Encyclopedia (2007-10-19). Retrieved 2009-02-15.
- ^ Klossner, N. Jayne and Hatfield, Nancy.Introductory Maternity & Pediatric Nursing, p. 107 (Lippincott Williams & Wilkins, 2006).
- ^ Blackburn, Susan. Maternal, Fetal, & Neonatal Physiology, p. 80 (Elsevier Health Sciences 2007).
Didahului oleh Oosit + Sel sperma |
Peringkat perkembangan manusia Zigot |
Diikuti oleh: Embrio |