Effects of the storage conditions on the stability of natural and synthetic cannabis in biological matrices for forensic toxicology analysis: An update from the literature

Spits Finland
Nama lainAnjing pemburu Finland
Negara asalFinland
Trait
Berat 12–13 kg (26–29 lb)
Tinggi Jantan 44–50 cm (17–20 in)
Betina 39–45 cm (15–18 in)
Bulu Ganda
Warna Merah, emas merah, atau emas
CatatanAnjing kebangsaan Finland
Anjing (Canis lupus familiaris)

Spits Finland[a] ialah satu baka anjing yang berasal dari Finland. Baka ini pada asalnya dilatih untuk memburu semua jenis buruan daripada tupai dan rodensia lain hingga beruang.[1] Ia merupakan "anjing penuding penyalak", yang menyatakan kedudukan buruan dengan menyalak dan menarik perhatian haiwan buruan kepada dirinya, lalu membolehkan pendekatan lebih mudah untuk si pemburu. Tujuan pemburuan asalnya adalah untuk menuding buruan yang berlari ke pokok, seperti grouse, dan capercaillie, tetapi juga baik untuk pemburuan elk. Sesetengah individu telah diketahui pergi mengejar beruang. Di tanah airnya, baka ini kebanyakannya masih digunakan sebagai anjing pemburu. Baka ini biasanya ramah dan baik dengan kanak-kanak. Maka, ia sesuai untuk kehidupan rumah. Spits Finland telah menjadi anjing kebangsaan Finland sejak tahun 1979.

Zuriat

Kedekatan genetik hampir semua baka anjing dengan serigala kelabu adalah kerana percampuran.[2] Walau bagaimanapun, beberapa baka anjing Artik menunjukkan kedekatan genetik, oleh sebab percampuran, dengan serigala Taymyr dari Asia Utara yang kini pupus. Baka-baka ini dikaitkan dengan latitud tinggi - laika Karelia-Finland, husky Siberia, dan anjing Greenland yang juga berkaitan dengan populasi manusia Artik, dan secara kurang ketara dengan shar pei. Graf percampuran bagi anjing Greenland menunjukkan penyuaian terbaik bagi 3.5% bahan kongsi. Walau bagaimanapun, perkadaran keleluhuran yang berjulat antara 1.4% dengan 27.3% adalah tekal dengan data. Ini menunjukkan percampuran antara populasi serigala Taymyr dengan populasi leluhur anjing bagi keempat-empat baka latitud tinggi ini. Introgresi ini dapat memberi anjing awal yang tinggal di latitud tinggi variasi fenotip yang bermanfaat untuk adaptasi terhadap persekitaran baharu dan mencabar. Ini juga menunjukkan bahawa keleluhuran bagi baka anjing zaman kini diturunkan dari lebih daripada satu kawasan.[3]

Sejarah

Spits Finland dari tahun 1915

Spits Finland diandaikan dikembangkan daripada anjing jenis spits yang datang dari Rusia tengah dengan penghijrah pada 3,000 tahun lalu.[4] Suku-suku kecil rimbawan ini bergantung pada anjing mereka untuk membantu dalam pemerolehan makanan dan kebolehan perburuan cemerlang spits Finland menjadikannya pilihan kegemaran.[5]

Menjelang tahun 1880, apabila cara pengangkutan maju mempertemukan pelbagai orang dan anjing mereka bersama-sama, spits Finland mengawan dengan baka anjing lain dan semakin pupus sebagai baka tersendiri.[4] Pada sekitar masa itu, ahli sukan Finland dari Helsinki bernama Hugo Roos memerhatikan spits Finland asli tulen semasa perburuan di hutan-hutan utara. Beliau menyedari banyak sifat baka spits Finland tulen dan mengambil keputusan untuk memilih anjing yang merupakan contoh tidak tercemar bagi spits Finland sejati untuk mencuba memulihkan baka ini.[1] Pembiakbakaan cermat selama tiga puluh tahun menghasilkan spits Finland moden; anjing ini merupakan keturunan bagi ternakan asasi asli beliau.[6]

Kelab Kenel Finland telah menyemak piawaian baka sebanyak enam kali dan versi terkini disahkan pada tahun 1996. Pada tahun 1979, semasa kelab merayakan ulang tahun ke-90-nya, spits Finland diisytiharkan sebagai baka anjing kebangsaan Finland. Kelab ini juga berusaha untuk menyertakan pengalaman perburuan dengan spits Finland dalam Senarai Warisan Kebudayaan Tak Ketara UNESCO.[7]

Penampilan

Pengakuran benar ialah tubuh segi empat sama, yang bermaksud bahawa panjang tubuh adalah sama atau lebih pendek sedikit berbanding dengan tinggi dari paras kelasa ke tanah. Panjang tubuhnya diukur dari titik bahu atau dada hadapan di hadapan kelasa ke pinggul. Betina biasanya lebih panjang sedikit di belakang berbanding dengan jantan. Kedua-dua jantina patut terlihat lebih panjang sedikit pada tungkai berbanding dengan belakang.

Kuku embun dapat muncul pada kaki hadapan dan/atau kaki belakang. Jika cakar belakang muncul, cakar tersebut patut ditanggalkan. Kuku embun hadapan dapat ditanggalkan, jika diingini.[8]

Bulu

Spits Finland mempunyai lapis bulu ganda tipikal yang terdiri daripada lapis bulu bawah lembut dan padat dan rerambut pengawal panjang dan kawal yang dapat berukuran sepanjang 2.5–5 sentimeter (0.98–1.97 in). Lapis bulu luar tidak patut melebihi 2.5 sentimeter (0.98 in) pada lingkaran bulu. Lapis bulunya patut lebih kaku, lebih padat, dan lebih panjang di leher, di belakang, di belakang paha, dan pada rumbai ekor, lebih pendek di kepala dan di tungkai. Anjing jantan patut memiliki lapis bulu lebih panjang sedikit dan lebih kasar berbanding dengan anjing betina yang mempunyai lapis bulu lebih halus sedikit.

Rumbai ekor adalah penting untuk penampilan menyeluruh bagi anjing namun tidak patut terlalu panjang. Bulu ekor panjang berumbai tanpa zat dapat memnghasilkan rupa selekeh. Tambahan pula, set ekor adalah penting dan spits Finland patut dapat menggerakkan ekornya dari satu sisi ke sisi lain. Kebanyakan spits Finland mempunyai sisi pilihan dan hal ini tidak salah.

Penjagaan betul bagi lapis bulu adalah paling penting. Spits Finland menggugurkan lapis bulu bawahnya dua kali setahun. Ada kewajipan untuk para pemilik untuk memberus untuk menanggalkan lapis bulu bawah lama supaya lapis bulu baharu dapat tumbuh dengan betul. Walaupun anjing mungkin kelihatan gebu dan penuh, lapis bulu bawah berlebihan dapat menyebabkan masalah kulit serius.

Dalam gelanggang pertunjukan, lapis bulu patut ditunjukkan sebagi lapis bulu sepenuhnya semula jadi; pemberusan lapis bulu diterima, tetapi pemendekan tidak diizinkan, malah untuk misai pun tidak diizinkan. Walau bagaimanapun, sebarang lapis bulu bawah berlebihan patut ditanggalkan. Sesetengah pempamer memilih untuk menunjukkan anjing dengan lapis bulu bawah berlebihan untuk membuat lapis bulu anjing berkenaan kelihatan lebih lebat. Kegagalan untuk menanggalkan lapis bulu bawah dianggap sebagai pengabaian oleh sesetengah hakim yang lebih memilih lapis bulu bersih dan tersikat. Lagi satu pengecualian ialah bulu yang di bawah tapak kaki. Bulu di bawah kaki serta kuku kaki patut dipotong dengan elok untuk pertunjukan.

Warna

Setem pos tahun 1989 yanbg menggambarkan spits Finland

Anak anjing kerap diperihalkan kelihatan serupa dengan anak rubah merah. Ia lahir dengan warna kelabu gelap, hitam, perang, atau perang kekuning-kuningan dengan sebahagian besar hitam. Anak anjing berwarna perang kekuning-kuningan atau yang dengan sebahagian besar putih di dada kurang diutamakan untuk tujuan pertunjukan. Warna anjing dewasa dapat ditaksir oleh pembiak baka berpengalaman pada waktu kelahiran, namun untuk masa itu juga, warnanya mungkin berubah sedikit sebaik anak anjing membesar.[6]

Warna dewasa biasanya merah keemasan dengan variasi antara kuning madu cair dengan merah berangan gelap.[9] Tiada keutamaan untuk cahaya warna tertentu selagi warnanya cerah dan jelas tanpa sebarang sentuhan kesuraman. Lapis bulunya tidak patut langsung berwarna padu. Lapis bulunya patut bercahaya warna tanpa sebarang perubahan warna jelas. Lapis bulunya biasanya mempunyai cahaya warna paling gelap di belakang banjing, beransur-ansur menjadi lebih cerah di sekitar dada dan perut. Lapis bulu bawahnya mesti sentiasa berwarna lebih cerah daripada lapis bulu atas, namun tidak diizinkan berwarna putih. Tompok putih kecil, yang tidak lebih lebar daripada 1.5 sentimeter (0.59 in), diizinkan di dada, dan hujung putih di kaki diterima, namun tidak diutamakan.[6]

Hidung, bibir, dan pinggir mata patut sentiasa hitam.[6]

Tinggi dan berat

Tinggi pada paras kelasa (piawaian baka American Kennel Club[9]):

  • Jantan: 44.5–50.8 sentimeter (17.5–20.0 in)
  • Betina: 39.4–45.7 sentimeter (15.5–18.0 in)

Berat:

  • Jantan: 12–14 kg (26–31 lb)
  • Betina: 7.3–10 kg (16–22 lb)

Perangai

Baka ini aktif, berwaspada, dan bersemangat. Ia memerlukan sekali atau dua kali sesi berjalan setiap hari dan bakal menjadi agak kurang aktif di ruangan dalam. Baka ini tidak menyesuaikan diri dengan baik terhadap situasi kehidupan hanya berkenel; ia memerlukan keseimbangan antara senaman di luar dengan waktu main di dalam bersama dengan keluarga.[10]

Spits Finland dipertimbangkan untuk berinteraksi dengan baik sesama orang dan ia terutamanya baik dengan kanak-kanak. Ia sentiasa bersedia untuk bermain dengan kanak-kanak tetapi jika diabaikan, ia selalu berjalan menjauh.[11] Sebagaimana dengan anjing lain, kanak-kanak muda dan anjing patut sentiasa dipantau apabila bersama. Ia merupakan baka berdikari dan bakal terikat dengan keluarganya sementera menjauh daripada orang asing. Spits Finland cenderung menjadi bersikap pelindung; jantan memiliki trait dominasi berbanding dengan betina.

Kebanyakan spits Finland bergaul dengan baik dengan anjing lain di dalam rumah. Ia dibiakbakakan sebagai anjing pemburu dan, oleh itu, tidak boleh dipercayai di sekeliling haiwan kecil dan burung peliharaan, tetapi secara individu dapat hidup dengan baik dengan kucing, terutamanya jika dibesarkan bersama-sama.

Salakan

Baka ini menyalak apa-apa yang ditanggap luar biasa. Salakan ialah sebahagian besar daripada kegiatan perburuannya. Di Finland, anjing ini dihargai kerana kebolehan salakannya, yang dapat terdiri daripada salakan pendek dan tajam sehingga banyak salakan setiap minit yang berbunyi seperti yodel. Spits Finland dapat menyalak sebanyak 160 kali seminit. Di Skandinavia, pertandingan diadakan untuk menemukan "Raja Penyalak".[12] Di Finland, kebolehan salakannya di padang mesti dibuktikan sebelum kejuaraan pengakuran dapat diperoleh.[13]

Apabila digunakan sebagai teman perburuan, salakan ialah cara untuk mengisyaratkan pemburu bahawa anjing telah mengesan lokasi mangsa di dalam hutan.[13] Ia dapat dilatih untuk mengurangkan jumlah salakan,[6] namun salakannya menjadikannya anjing penjaga cemerlang.

Pelatihan

Spits Finland ialah anjing berdikari, bersungguh-sungguh, dan cerdas. Ia paling baik dilatih dengan suara dan sentuhan lembut.[14] Baka ini tidak berespons dengan baik terhadap kaedah pelatihan kasar. Ia patut dilatih dengan sentuhan ringan dan kaedah pengukuhan positif. Dengan kesabaran dan ketenangan namun juga pengendalian teguh, spits Finland dapat menjadi pendamping menakjubkan.

Kesihatan

Spits Finland secara tipikal ialah baka sangat singat, dengan sedikit sahaja kebimbangan kesihatan umum. Walau bagaimanapun, para pembiak baka patut dirujuk untuk memahami prevalens kecelaruan spesifik pada baka ini. Yang di bawah merupakan senarai pendek bagi hal yang diketahui berlaku:

Faktor-faktor yang dikaitkan dengan epilepsi idiopati pada spits Finland merupakan umur (<4 tahun), bilangan kali makan sehari, pendedahan kepada situasi pencetus stres ekstrem (perburuan), dan seks. Epilepsi lebih prevalen pada anjing jantan berbanding dengan anjingbetina. Anjing yang menghidap epilepsi idiopati ditemukan memiliki perwatakan murung, gemuruh, dan ternyahpeka.[15]

Jangka hayat media ialah kira-kira 11.2 tahun.[16]

Lihat juga

Catatan

  1. ^ Jawi: سڤيت‌س فينلند; Suomi: suomenpystykorva; Svensk: finsk spets; bahasa Inggeris: Finnish spitz

Rujukan

  1. ^ a b Morris, Desmond (2002). Dogs: The Ultimate Dictionary of Over 1,000 Dog Breeds [Anjing: Kamus Muktamad Lebih daripada 1,000 Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Trafalgar Square Publishing. m/s. 316. ISBN 9781570762192. OCLC 859060407.
  2. ^ Freedman, Adam H.; Gronau, Ilan; Schweizer, Rena M.; Ortega-Del Vecchyo, Diego; Han, Eunjung; da Silva, Pedro Manuel Soares; Galaverni, Marco; Fan, Zhenxin; Marx, Peter; Lorente-Galdos, Belen; Beale, Holly; Ramírez Bellido, Óscar; Hormozdiari, Farhad; Alkan, Can; Vilà, Carles; Squire, Kevin; Geffen, Eli; Kusak, Josip; Boyko, Adam R.; Parker, Heidi G.; Lee, Clarence; Tadigotla, Vasisht; Siepel, Adam; Bustamante, Carlos Daniel; Harkins, Timothy T.; Nelson, Stanley F.; Ostrander, Elaine Ann; Marquès-Bonet, Tomàs; Wayne, Robert Keith; Novembre, John Peter (16 Januari 2014). Andersson, Leif Bertil (penyunting). "Genome Sequencing Highlights the Dynamic Early History of Dogs" [Penjujukan Genom Menekankan Sejarah Awal Dinamik Anjing]. PLOS Genetics (dalam bahasa Inggeris). PLOS. 10 (1): e1004016. doi:10.1371/journal.pgen.1004016. ISSN 1553-7404. PMC 3894170. PMID 24453982. S2CID 6203697.
  3. ^ Skoglund, Pontus; Ersmark, Erik; Palkopoulou, Eleftheria; Dalén, Love (21 Mei 2015). "Ancient Wolf Genome Reveals an Early Divergence of Domestic Dog Ancestors and Admixture into High-Latitude Breeds" [Genom Serigala Purba Mendedahkan Pencapahan Awal Leluhur Anjing Bela Jinak dan Percampuran ke Dalam Baka Latitud Tinggi]. Current Biology (dalam bahasa Inggeris). Cell Press. 25 (11): 1515–1519. Bibcode:2015CBio...25.1515S. doi:10.1016/j.cub.2015.04.019. ISSN 0960-9822. PMID 26004765. S2CID 15117630.
  4. ^ a b American Kennel Club 1998, halaman 508
  5. ^ Nicholas 1990, halaman 6
  6. ^ a b c d e Cavill, Angela (2004). "The Finnish Spitz" [Spits Finland]. Finnish Spitz (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Mac 2016. Dicapai pada 1 Januari 2024.
  7. ^ Antti Aarnio; Kaija Unhola. "The Finnish Spitz is bred from a native landrace" [Spits Finland dibiakbakakan daripada baka tempatan asli]. Muzium Anjing Finland (dalam bahasa Inggeris). Kelab Kenel Finland. Dicapai pada 1 Januari 2024.
  8. ^ "Official Breed Standard" [Piawaian Baka Rasmi]. New Zealand Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 Januari 2024. Feet: Preferably round. Hind dew claws are always removed. Removal of front dew claws optional.
  9. ^ a b "AKC MEET THE BREEDS®: Finnish Spitz" [KENALI BAKA AKC: Spits Finland] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 1 Januari 2024.
  10. ^ Cunliffe 2003, halaman 19
  11. ^ Nicholas 1990, halaman 24
  12. ^ Cunliffe 2003, halaman 21
  13. ^ a b Nicholas 1990, halaman 26
  14. ^ Cunliffe 2003, halaman 20
  15. ^ Viitmaa, Ranno; Cizinauskas, Sigitas; Orro, Toomas; Niilo-Rämä, Meri; Gordin, Emilia; Lohi, Hannes; Seppälä, Eija H.; Bragge, Hanna; Snellman, Marjatta (1 Oktober 2013). "Phenotype, inheritance characteristics, and risk factors for idiopathic epilepsy in Finnish Spitz dogs" [Fenotip, ciri-ciri pewarisan, dan faktor-faktor risiko untuk epilepsi idiopati pada spits Finland]. Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Perubatan Veterinar Amerika. 243 (7): 1001–1009. doi:10.2460/javma.243.7.1001. ISSN 1943-569X. PMID 24050567. S2CID 25801622.
  16. ^ "Individual Breed Results for Purebred Dog Health Survey" [Keputusan Baka Individu untuk Tinjauan Kesihatan Anjing Baka Tulen] (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. 2004. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Mei 2007. Dicapai pada 1 Januari 2024.

Bacaan lanjut

Pautan luar