The US FDA’s proposed rule on laboratory-developed tests: Impacts on clinical laboratory testing
Kandungan
-
Permulaan
-
1 Etimologi
-
2 Kefahaman dalam agama Hindu
-
2.1 Abhāvayoga
-
2.2 Amanaskayoga
-
2.3 Aṣṭāṅgayoga
-
2.4 Bhaktiyoga
-
2.5 Bhāvayoga
-
2.6 Buddhiyoga
-
2.7 Dhyānayoga
-
2.8 Haṭhayoga
-
2.9 Jñānayoga
-
2.10 Karmayoga
-
2.11 Kriyāyoga
-
2.12 Kuṇḍalinīyoga
-
2.13 Layayoga
-
2.14 Mahāyoga
-
2.15 Mantrayoga
-
2.16 Nādayoga
-
2.17 Rājayoga
-
2.18 Śivayoga
-
2.19 Sparśayoga
-
2.20 Tantrayoga
-
2.21 Tārakayoga
-
-
3 Penerimaan
-
4 Rujukan
-
5 Pautan luar
Yoga (Sanskrit: योग yóga, IPA: [joːgə]) ialah disiplin-disiplin fizikal dan mental tradisional yang berasal dari India; matlamat yang dicapai disiplin-disiplin ini; dan antara enam fahaman ortodoks (āstika) dalam falsafah India.[1] Terdapat pelbagai fahaman, amalan dan matlamat Yoga dalam agama-agama Hindu, Buddha, dan Jain.[2][3][4]
Antara jenis Yoga yang popular ialah Raja Yoga, Karma Yoga, Jnana Yoga, Bhakti Yoga, dan Hatha Yoga.[5][6][7][8] Raja Yoga yang disusun dalam Yogasutras oleh Patanjali ialah antara falsafah Hindu disamping Vedanta dan Samkhya.[9] Banyak lagi kitab Hindu yang membincangkan aspek-aspek Yoga, termasuk Veda, Upanishad, Bhagavad Gita, Hatha Yoga Pradipika, Shiva Samhita dan pelbagai Tantra.
Secara tradisi, amalan Yoga adalah lebih purba daripada kitab-kitab Veda. Golongan intelektual Barat mula menunjuk minat dalam Yoga pada kurun ke-19. Pada asalnya, para pemikir Eropah dan Amerika lebih cendurung dengan aspek falsafah Yoga.[10] Yoga sebagai suatu aktiviti senaman menarik minat masyarakat Barat secara umumnya dalam kurun ke-20 and ke-21.
Perkembangan Yoga di Barat dipelopori oleh Swami Vivekananda di Amerika Syarikat pada 1893. Namun, Vivekananda hanya menumpukan Yoga sebagai aliran falsafah dan pemikiran. Guru-guru Yoga terkemudian dan imigran India ke Amerika mengajar aliran yoga fizikal.[11] Kegiatan ini turut dimasyhurkan semasa berkembangnya budaya tentangan Hippie pada tahun 1960-an.[11] Kini, perkembangan dan amalan Yoga di Barat lebih tertumpu pada aktiviti fizikal semata-mata dengan menyingkirkan unsur-unsur kerohanian.[12]
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menetapkan tarikh 21 Jun sebagai "Hari Yoga Antarabangsa"[13][14][15] disambut setiap tahun di India dan di seluruh dunia sejak tahun 2015.[16][17] Pada 1 Disember 2016, UNESCO telah menyenaraikan Yoga sebagai warisan budaya tidak ketara.[18]
Etimologi
Istilah Yoga dalam bahasa Sanskrit banyak maknanya seperti "menggabung", "menyatukan", "kesatuan", "gabungan"[19], atau "kaedah"[20][21][22] serta diterbit dari kata akar yuj, yang bererti "mengawal", "menyangga" atau "menyatukan".[23] Di luar India, istilah yoga sering disamakan dengan Hatha Yoga dan asananya (postur) atau bentuk senaman. Pengamal Yoga dipanggil Yogi (uniseks) atau Yogini (perempuan).
Kefahaman dalam agama Hindu
Dalam Agama Hindu, perkataan 'Yoga' digunakan dalam beberapa maksud. Apabila diambil daripada perkataan ‘yuj samādhau’ ianya membawa maksud kesatuan minda atau konsentrasi. Sekiranya dilihat daripada perkataan 'yujir yoge', Yoga bermaksud 'untuk menyatukan'. Gabungan kedua-dua maksud ini boleh disimpulkan bahawa Yoga ialah seni dan ilmu penyatuan minda yang membantu seseorang untuk menyatukan jiwa individu (jīvātman) dengan Tuhan (Paramātman). Yogadarśana oleh Patañjali (200 S.M) memberikan gambaran yang tepat mengenai ini.[24]
Yoga dalam konteks agama Hindu boleh disenarakan seperti berikut menurut turutan abjad:
Abhāvayoga
TeksTaittirīya Upaniṣad (2.1)[25] menggambarkan evolusi alam semesta daripada Atman (sama seperti Brahman) menerusi lima unsur seperti ākāśa (angkasa, ruang) hingga puruṣa (manusia). Dalam Abhāvayoga, seseorang melakukan meditasi dalam turutan terbalik, iaitu dengan menyatukan badannya dengan setiap unsur sehingga akhirnya, dia mencapai Atman sebagai Kesedaran Tulen tanpa sebarang rupa atau sifat. Seseorang yang mencapai tahap ini akan mendapati bahawa seluruh dunia dan alam semesta telah hilang dan hanya Atman yang wujud. Abhāva bermaksud "kekosongan atau ketiadaan".[26]
Amanaskayoga
Ini ialah Yoga yang mengajar untuk mengawal dan menenangkan minda dengan menghalang pembentukan vṛtti (ombak). Ketenangan minda ialah keadaan tanpa sebarang vṛtti atau ombak fikiran. Keadaan ini membolehkan seseorang mengenali Atman. Beberapa disiplin daripada Haṭhayoga seperti khecarīmudrā perlu dilakukan dalam Yoga ini.
Aṣṭāṅgayoga
(Artikel utama Falsafah India#Yoga Darśana)
Yogadarśana[27] oleh Patañjali (200 S.M) dikenali sebagai Aṣṭāṅgayoga. Yoga ini mempunyai lapan langkah-langkah (aṣṭa = lapan; aṅga = anggota atau langkah).[28]. Lapan langkah ini ialah yama (kawalan diri), niyama (amalan disiplin), āsana (gaya duduk), prāṇāyāma (kawalan prana atau aliran nafas), pratyāhāra (menarik balik fikiranl), dhāraṇā (tumpuan minda), dhyāna (meditasi) and akhirnya, samādhi (penyatuan penuh).
Bhaktiyoga
Bhakti merupakan antara Yoga yang paling mudah diamalkan. Yoga ini menekankan 'Bhakti' atau cinta pada Tuhan. Seseorang yang mengamalkan Bhaktiyoga perlu mendapatkan mantera suci daripada seorang Guru. Mendengar bacaan kitab suci seperti Bhagavadgita, Itihasa, dan Purana, bacaan ayat-ayat suci, nyanyian lagu-lagu suci, melakukan pemujaan ritual, dan lawatan ke tempat-tempat suci adalah antara disiplin yang diamalkan oleh seorang yang mengikuti Yoga ini.
Ajaran mengenai Bhakti Yoga telah diberikan dalam Bhagavadgita, Bhakti Yoga[29] oleh Swami Vivekananda (1863-1902), dan teks-teks purba seperti Narada Bhakti Sutras, Sandilya Bhakti Sutras, dan sebagainya.
Bhāvayoga
Selepas melakukan Mantrajapa (mengulangi mantera suci) yang diiringi dengan prāṇāyāma (kawalan nafas) untuk masa berpanjangan, sekiranya Mantrajapa dihentikan,dan seseorang menyedari kewujudan Tuhan, ini dikenali sebagai Bhāvayoga.
Buddhiyoga
Ini merupakan suatu perkataan yang unik yang mula-mula digunakan dalam Bhagavadgita di tiga tempat (Bhagavadgita 2.49; 10.10 and 18.57).
‘Buddhi’ bermaksud akal fikiran. Maka, Buddhiyoga bermakna suatu jalan atau disiplin kerohanian yang membolehkan akal fikiran memainkan peranan penting untuk menyatukan jiwa manusia (Jivatman) dengan Tuhan ( Paramatman).
Karma atau tindakan lazimnya menjadi ikatan atau belenggu disebabkan ketamakan disebalik tindakan seseorang. Tindakan yang didorong oleh ketamakan atau keinginan untuk pahala akan menyebabkan seseorang dibelenggui dengan samsara (kitaran kelahiran dan kematian). Sekiranya tindakan didorong oleh cinta pada Tuhan dan tanpa kepentingan diri, maka, tindakan boleh membawa seseorang ke arah Moksha atau kebebasan. Dalam keadaan ini, tindakan seseorang menjadi Buddhiyoga yang membawa kesatuan antara Jivatman dan Paramatman.[30]
Dhyānayoga
Dhyānayoga bermaksud penyatuan dengan Tuhan secara meditasi. Para Rishi yang tidak dapat mencapai suatu jawapan yang memuaskan mengenai misteri ciptaan, dikatakan telah menggunakan Dhyānayoga untuk mencapai kebenaran (Śvetāśvatara Upaniṣad 1.3). Bab enam Bhagavadgītā dinamakan sebagai Dhyānayoga.[31]
Perkataan ‘dhyānayoga’ mungkin bermaksud (yoga = penyatuan) Jīvātman dengan Paramātman (Tuhan) melalui proses dhyāna atau meditasi, atau, Yoga ini juga boleh difahami sebagai dhyāna atau meditasi yang berakhir dengan yoga atau samādhi (tumpuan minda sepenuhnya pada Tuhan).
Dhyānayoga dalam Bhagavadgītā mempunyai langkah-langkah berikut:
- Yogi atau pengamal Yoga perlu memilih tempat yang terpencil (atau senyap) dan bersih untuk melakukan meditasi. Kemudian, dia perlu menyediakan āsana atau tempat duduk dengan sejenis rumput (kuśa grass), dilapisi dengan kulit rusa dan akhir sekali dengan sekeping kain. Dia perlu duduk bersila di atas āsana ini dalam keadaan dada, leher, dan kepala yang tegang dan lurus dan memulakan meditasi dengan menumpukan perhatian pada bahagian hujung hidungnya. Kemudian, dia boleh melakukan bermeditasi tentang Tuhan dengan menghentikan segala fikiran lain.
- Seorang Yogi perlu mengamalkan dalam hidupnya perkara-perkara berikut: keberanian, kepercayaan kepada Tuhan, pemakanan dan tidur secara sederhana, kawalan organ pembiakan, serta menyingirkan segala keinginan materialistik.
- Meskipun Yoga ini amat sukar untuk diamalkan disebabkan minda yang lemah, kejayaan boleh dicapai dengan percubaan berulangkali (abhyāsa) serta semangat pelepasan yang cekal (vairāgya).
- Menurut kepercayaan, sekiranya seorang Yogi meninggal dunia tanpa mencapai matlamatnya, dia akan lahir semula dalam keluarga yang memberinya peluang untuk meneruskan amalan Yoganya.
Haṭhayoga
Haṭhayoga merupakan antara cabang penting sistem Yoga yang mengajar aspek-aspek praktikal kehidupan rohani. Perkataan ‘haṭha’ boleh dibelah dua, ‘ha’ dan ‘ṭha’, dan difahami sebagai 'matahari' dan 'bulan' atau 'prāṇa' dan 'apāna' iaitu dua aspek penting tenaga prāṇa yang berfungsi dalam setiap benda hidup. Mengikut penjelasan ini, Haṭhayoga ialah sains prāṇāyāma yang merangkumi beberapa aspek Yoga seperti āsana (gaya duduk meditasi) and mudrā.
Teks-teks tradisional mengenai Haṭhayoga, menyatakan bahawa Ādinātha atau Śiva ialah guru pertama ilmu ini dan Śiva mengajar ilmu ini kepada Devi Pārvatī.
Antara guru-guru terkenal tradisi ini ialah: Matsyendranātha, Gorakṣanātha, Śābarānanda, Mīnanātha, Bileśaya, Bhairava, Manthāna, Kākacaṇḍīśvara, Prabhudeva (Allama Prabhu?) dan lain-lain lagi.
Jñānayoga
(Artikel Utama: Falsafah Vedanta)
Sila lihat Jnana Yoga oleh Swami Vivekananda (1863-1902).
Karmayoga
Amnya, manusia ialah makhluk sosial dan tidak boleh hidup tanpa melakukan sebarang kerja atau aktiviti. Karma ialah aktiviti atau kerja. Karma Yoga memberikan panduan yang membantu seseorang bekerja atau berkhidmat dengan bijak sehingga dia mencapai kesempurnaan rohani atau Moksha.
Seorang Karma Yogi yang sempurna tidak terikat dengan apa jua pun di dunia ini. Dia sebenarnya tidak mempunyai sebarang kewajipan kerana dia telah mencapai matlamat kehidupan iaitu kebebasan daripada samsara. Namun begitu, dia sentiasa aktif melakukan kerja-kerja demi kebaikan dunia, didorong dengan perasaan belas kasihan melihat penderitaan orang lain. Dia juga meneruskan segala aktiviti untuk kebaikan dunia bagi menjadi teladan kepada orang lain yang masih belum mencapai kesempurnaan. Satu lagi ciri seorang Karma Yogi ialah dia bekerja seperti seorang tuan dan bukannya seperti hamba. Kerjanya juga adalah sempurna yang boleh menjadi teladan untuk dicontohi.
Kitab-kitab Hindu seperti Mahabharata menceritakan kisah hidup ramai orang-orang alim yang telah mencapai kesempurnaan rohani dengan mengikuti Karmayoga, Antaranya ialah seorang wanita dan Dharmavyādha, seorang penjual daging (Mahābhārata, Vanaparva 206); Tulādhāra (Śāntiparva 262); Janaka (Bhagavadgītā 3.20).
Kriyāyoga
Yoga atau penyatuan dengan Tuhan secara aktiviti atau kriyā. Perkataan Kriyāyoga mempunyai maksud teknikal dalam Yogasūtras Patañjali.
Yoga ialah proses menguasai minda, sehingga akhirnya samādhi (penumpuan minda yang sempurna, kesedaran rohani) dicapai.
Patañjali menyarankan Kriyāyoga bagi amalan orang-orang biasa yang tidak mampu untuk melakukan Aṣṭāṅgayoga yang rumit.
Tiga disipin dalam Yoga ini ialah —tapas (disipin kawalan seperti berpuasa, 'tavam' dalam bahasa Tamil), svādhyāya (mempelajari kitab-kitab suci), mantrajapa dengan praṇava (Om) dan īśvarapraṇidhāna (menyerahkan segala hasil pahala kepada Tuhan) bersama-sama menjadi Kriyāyoga. Yoga ini dikenali ‘kriyāyoga’ kerana semuanya dalam bentuk kriyā (aktiviti) dan membawa kepada kesedaran atau kesatuan dengan Tuhan.[32]
Tapas atau disipin kawalan diri merangkumi pelbagai disiplin fizikal seperti berkhidmat kepada orang-orang alim, kawalan nafsu dan aktiviti seksual, bercakap benar, pembelajaran Veda, dan disiplin minda seperti fikiran yang suci.
Svādhyāya termasuk pembelajaran kitab-kitab suci yang membantu seseorang mencapai kebebasan (Kaivalya) dan mengulangi mantera suci seperti Om dan Gāyatrīmantra.
Īśvarapraṇidhāna merangkumi segala aktiviti yang dilakukan dan penyerahan pahalanya kepada Tuhan.
Amalan Kriyāyoga dapat membantu seseorang untuk mengelakkan kejahatan, menyucikan dirinya dan akhirnya mencapai samādhi.
Kuṇḍalinīyoga
Menurut Yoga ini, kuasa Kuṇḍalinī atau kesaktian yang berada di Muladhara Cakra (berdekatan bahagian 'coccyx) dalam badan manusia akan didorong untuk 'bangkit' dan bergerak ke arah enam Cakra atasan sehingga mencapai Cakra ke tujuh iaitu Sahasra Cakra (bahagian kepala). Kuṇḍalinīyoga ialah antara Yoga yang amat rumit dan kesilapan boleh membahayakan diri.
Layayoga
Ini ialah nama lain untuk Kuṇḍalinī Yoga.
Mahāyoga
Ini ialah langkah selepas Abhāvayoga yang membolehkan seseorang menyedari kesatuannya dengan Śiva atau Tuhan.
Mantrayoga
Ini Yoga penyatuan melalui mantera suci. Vāyavīya Saṁhitā merupakan suatu teks penting mazhab Śaivisme. Teks ini menyebut mengenai lima jenis Yoga. Mantrayoga merupakan jenis yang pertama. Dalam Yoga ini, seseorang pengamal perlu mengulangi Mantera yang diterimanya daripada seorang guru sehingga mindanya menjadi tenang dan stabil. Proses mengulangi mantera diiringi dengan kawalan pernafasan (prāṇā-yāma) ini dipanggil sebagai Sparśa-yoga. Seterusnya Sparśayoga akan menjadi Bhāvayoga apabila mantrajapa atau ulangan mantera terhenti secara semula jadi dan hanya perasaan (bhāva) masih dirasakan. Sekiranya, pengalaman ini diteruskan, segala kesedaran mengenai dunia akan lenyap, dan akhirnya Abhāvayoga dapat dicapai. Pada penghujung amalan ini, Yogi akan bersatu dengan Śiva (Tuhan). Ini disebut sebagai Mahāyoga.
Yogasūtras Patañjali (200 S.M.) dengan lapan langkap Aṣṭāṅgayoga juga diikuti dalam Mantrayoga.
Nādayoga
Brahman ialah kesedaran tulen yang merangkumi segala-galanya. Apabila Brahman ingin mencipta dunia dan alam semesta (lihat Chāndogya Upaniṣad[33] 6.2.1 dan 3; Taittirīya Upaniṣad[34] 2.6; Aitareya Upaniṣad[35] 1.1), suatu Nāda (nada atau bunyi) muncul di hadapan-Nya. Nāda ini secara beransur-ansur menjadi alam semesta. Nāda lazimnya disamakan dengan Praṇava atau Oṁ. Meditasi ke atas Nāda atau bunyi Om akhirnya akan menyebabkan fikiran menjadi tenang, senyap, dan akhirnya lenyap sama sekali. Apabila fikiran berhenti sepenuhnya, lahirlah Ilmu Mutlak. Proses ini dikenali sebagai Nādayoga.[36]
Rājayoga
In ialah Yoga yang sama yang diajar oleh Patañjali pada tahun 200 S.M.). Sila llihat Aṣṭāṅgayoga.
Bentuk Yoga ini disanjung sebagai 'raja' dalam kalangan Yoga. Swami Vivekananda (1863-1902) telah memberikan suatu pendekatan yang baru lagi relevan untuk zaman moden dalam bukunya Rāja Yoga.[37]
Śivayoga
Bentuk Yoga wujud dalam Saivisme diterangkan kitab-kitab sucinya sebagai penyatuan antara jīvātman (jiwa manusia) dengan Paramātman (Tuhan).[38] Yoga ini mempunyai lima tahap atau langkah: arcana (pemujaan Tuhan); anusandhāna (meditasi pada rupa Tuhan); Bhakti (memupuk cinta pada Tuhan); vidyā (menerima mantera suci); vrata (disiplin kerohanian yang ketat menurut ajaran kitab suci dan guru).
Sparśayoga
Gabungan Mantrayoga dengan prāṇāyāma dikenali sebagai Sparśayoga.[39]
Tantrayoga
Amalan disipin kerohanian menurut ajaran kitab-kitab Tantra melibatkan ṣaṭcakrabheda (menerusi enam Cakra) dikenali sebagai Tantrayoga.
Tārakayoga
Sama seperti api yang menyala dalam sebuah pelita digunakan untuk menyalakan pelita lain, seorang guru rohani yang sempurna boleh memindahkan atau memberikan secara sentuhan kesaktian rohani kepada seorang pelajar yang berkelayakan. Ini dinamakan sebagai Tāraka Yoga. Nama lainnya ialah śaktipāta atau pemberikan kesaktian.
Penerimaan
Yoga di Negara-Negara Barat
Yoga mendapat perhatian dunia barat, terutamanya golongan intelektual pada pertengahan kurun ke-19 bersama dengan beberapa pengajian falsafah India. Pada tahun 1851, N.C.Paul menerbitkan Treatise on Yoga Philosophy.[40] Antara peminat-peminat awal Yoga ialah Ralph Waldo Emerson (1803–1882), G. W. F. Hegel (1770–1831), August Wilhelm Schlegel (1767–1845), Karl Wilhelm Friedrich Schlegel (1772–1829), Max Mueller (1823–1900), dan Arthur Schopenhauer (1788–1860).
Lawatan Swami Vivekananda (1863-1902) ke Amerika Syarikat pada 1893 membuka peluang untuk membangkitkan minat masyakarat Barat terhadap ilmu yang purba ini. Swami Vivekananda memberikan beberapa ceramah berkaitan Karma Yoga, Raja Yoga, Bhakti Yoga dan Jnana Yoga dalam Bahasa Inggeris. Ceramah-ceramah ini kemudiannya telah diterbitkan sebagai empat buah buku berasingan.
Seorang lagi guru dan Yogi dari negara India yang telah memainkan peranan penting dalam perkembangan Yoga ialah Paramahamsa Yogananda (1893-1952). Kebetulannya, Yogananda (nama asalnya Mukunda Lal Ghosh) lahir pada tahun 1893 iaitu pada tahun Vivekananda menyertai Parlimen Agama-Agama Dunia di Chicago, Amerika Syarikat. Yogananda berasal daripada tradisi guru-guru Kriya Yoga yang terkenal seperti Mahavatar Babaji, Lahiri Mahasaya (1828-1895), dan Sri Yukteshwar Giri (1855-1936). Bukunya yang terkenal Autobiography of a Yogi[41], masih menjadi inspirasi kepada ratusan ribu insan yang ingin mencari kebenaran. Buku ini disenaraikan sebagai "100 Buku Kerohanian yang Terbaik dalam kurun ke-20"[42] dan sejak penerbitan pertamanya pada tahun 1946, hampir 4 juta naskah telah dijual di seluruh dunia.
Di dunia Islam
- Di Singapura: Majlis Ugama Islam mengharamkan pengamalan ini atas dasar penerapan unsur Hindu pada 2004.[43][44]
- Di Malaysia: Sidang muzakarah dilakukan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam pada Oktober 2008 di Kota Bharu, Kelantan memberi pandangan dan pendapat bahawa amalan yoga yang sistematik yakni membabitkan gerakan fizikal, bacaan "mentera dan pemujaan" dengan matlamat penyatuan diri dengan Tuhan lalu didapati "tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim"; perkara ini dibezakan dengan amalan yang disebutkan dalam yoga lebih kepada pergerakan fizikal "tanpa unsur-unsur di atas" yang "pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan".[45][46] Pembezaan ini turut ditegaskan Abdullah bin Ahmad Badawi semasa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.[47]
- Di Indonesia: Majelis Ulama meluluskan fatwa mengharamkan yoga pada tahun 2009.[48]
Fatwa-fatwa dikeluarkan se-Nusantara ini disanggah Darul Uloom Deoband di Uttar Pradesh India yang berpendapat bahawa pemutusan sebegini atas tanggapan bahawa yoga berkait rapat langsung dengan anutan agama Hindu yang asal sedangkan difikirkan lebih kepada senaman fizikal.[49] Perkara ini seiya badan Nusantara tertentu seperti Sisters in Islam di Malaysia membalas fatwa diberikan di mana yoga diibaratkan menurut mereka seperti senaman qigong atau taichi yang punya unsur berasal dari anutan Buddhisme.[50] Golongan pengajar yoga beragama Islam mempunyai aneka pendapat: ada yang setuju pengucapan mantera dijauhkan dari pengamalan senaman fizikal yang ada, ada yang menganggap ini disebabkan kerana salah faham terhadap peristilahan Sanskrit digunakan (misalnya asana) yang bersifat Hindu,[50] ada yang berpendapat bahawa fatwa-fatwa ini sebagai "penghinaan" terhadap Yoga.[50][51]
Rujukan
- ^ "Yoga ada lima maksud utama: 1) yoga sebagai kaedah berdisiplin untuk mencapai tujuan; 2) yoga sebagai teknik menguasai badan dan minda; 3) yoga merupakan nama salah satu fahaman atau sistem falsafah (darśana); 4) yoga yang bergabung dengan kata-kata lain seperti hatha-, mantra-, dan laya-, memaksudkan tradisi-tradisi khusus dalam teknik-teknik yoga tertentu; 5) yoga sebagai matlamat amalan yoga." Jacobsen, p. 4.
- ^ Denise Lardner Carmody, John Carmody (1996), Serene Compassion. Oxford University Press US. p. 68.
- ^ Stuart Ray Sarbacker, Samādhi: The Numinous and Cessative in Indo-Tibetan Yoga. SUNY Press, 2005, pp. 1–2.
- ^ Tattvarthasutra [6.1], see Manu Doshi (2007) Translation of Tattvarthasutra, Ahmedabad: Shrut Ratnakar p. 102
- ^ Master Murugan, Chillayah (20 October 2012). "Yoga sebagai senaman, kesihatan dan kehidupan". Silambam. Dicapai pada 31 May 2013.
- ^ Pandit Usharbudh Arya (1985). The philosophy of hatha yoga. Himalayan Institute Press; 2nd ed.
- ^ Sri Swami Rama (2008) The royal path: Practical lessons on yoga. Himalayan Institute Press; New Ed edition.
- ^ Swami Prabhavananda (Translator), Christopher Isherwood (Translator), Patanjali (Author). (1996). Vedanta Press; How to know god: The yoga aphorisms of Patanjali. New Ed edition.
- ^ Jacobsen, p. 4.
- ^ https://yogainternational.com/article/view/why-we-practice-a-short-history-of-yoga-in-the-west
- ^ a b "Yoga Landed in the U.S. Way Earlier Than You'd Think—And Fitness Was Not the Point". HISTORY. Dicapai pada 14 Jun 2021.
- ^ Burley, Mikel (2000). Hatha Yoga: Its Context, Theory and Practice. Delhi: Motilal Banarsidass. m/s. 1–2. ISBN 978-8120817067.
- ^ "United Nations Information Centre for India and Bhutan". www.unic.org.in. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Julai 2016.
- ^ Rajghatta, Chidanand (28 September 2014). "Narendra Modi calls for International Yoga Day". The Times of India.
- ^ "UN declares June 21 as 'International Day of Yoga'". The Times of India.
- ^ "Massive turnout on International Day of Yoga in India". 21 Jun 2015. Unknown parameter
|publsiher=
ignored (|publisher=
suggested) (bantuan) - ^ "PM Modi Leads Yoga Session, India Sets Guinness Records: 10 Developments". NDTV. Dicapai pada 21 Jun 2015.
- ^ "Yoga joins Unesco world heritage list". The Guardian. 1 Disember 2016.
- ^ Apte, p. 788.
- ^ For "expedient, means in general", see: Apte, p. 788, definition 13.
- ^ For "mode, manner, means", see: Apte, p. 788, definition 5.
- ^ Untuk senarai 38 erti perkataan "yoga", rujuk: Apte, p. 788.
- ^ Flood (1996), p. 94.
- ^ http://eoh.rkmathbangalore.org/describe/word/Yoga
- ^ https://holybooks.com/the-taittiriya-upanishad-the-complete-pdf/
- ^ A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Swami Harshananda (2007) Ramakrishna Math Bangalore
- ^ http://eoh.rkmathbangalore.org/describe/word/YOGADAR%C5%9AANA
- ^ https://www.yogapoint.com/info/ashtanga-yoga.htm
- ^ http://www.vivekananda.net/PDFBooks/BhaktiYogaS.pdf
- ^ http://eoh.rkmathbangalore.org/describe/word/BUDDHIYOGA
- ^ http://eoh.rkmathbangalore.org/describe/word/DHY%C4%80NAYOGA
- ^ http://eoh.rkmathbangalore.org/describe/word/KRIY%C4%80YOGA
- ^ https://www.wisdomlib.org/hinduism/book/chandogya-upanishad-english
- ^ https://www.esamskriti.com/essays/TAITTIRIYA-UPANISHAD-TNS-COMPLETE.pdf
- ^ https://esamskriti.com/essays/Aitareya-Upanishad.pdf
- ^ https://www.himalayanyogainstitute.com/nada-yoga/
- ^ https://www.ramakrishnavivekananda.info/vivekananda/volume_1/raja-yoga/raja-yoga_contents.htm
- ^ https://www.sivayoga.org/
- ^ https://books.google.com.my/books?id=flbsDwAAQBAJ&pg=PA2071&lpg=PA2071&dq=sparsayoga&source=bl&ots=CVhZnkNT3V&sig=ACfU3U32MKHTBiAoOUHB2cT1HS1Q-59clA&hl=en&sa=X&ved=2ahUKEwiTndW02aDyAhWKzzgGHbBTBJ4Q6AF6BAgJEAM#v=onepage&q=sparsayoga&f=false
- ^ https://books.google.com.my/books/about/A_Treatise_on_the_Yoga_Philosophy.html?id=CZmNNpTy7VUC&redir_esc=y
- ^ https://www.ananda.org/free-inspiration/books/autobiography-of-a-yogi/
- ^ "HarperCollins 100 Best Spiritual Books of the Century
- ^ Jain, Andrea R. (2014). Selling Yoga: From Counterculture to Pop Culture. Oxford University Press. m/s. 195. ISBN 978-0-19-939024-3.
- ^ "Find alternative to yoga, urges Jakim" (PDF). New Strait Times. Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 8 February 2015.
- ^ "Sidang Media – Fatwa Yoga". Islam.gov.my. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 January 2009. Dicapai pada 5 September 2010.
The Fatwas of Religious Council in Islamic affairs on Yoga. After carefully studied various reports and factual data, the Council unanimously agreed that this ancient India religious teachings, which involves physical and mental exercises, are Hinduism in nature known as wahdat al-wujud philosophy (oneness of existence; the realization of identity between the Self in man, Atman; and the Divine, BRAHMAN: ‘Brahman is all, and Atman is Brahman'). It is prohibited (haram) for Muslims to practice it.
- ^ http://www.malaysianbar.org.my/berita/komen_undang_undang/fatwa_ambil_tindakan.html Fatwa: Ambil tindakan ]
- ^ "Badawi: Yoga for Muslims OK without chant". Saudi Gazette. 27 November 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Julai 2013.
- ^ "Indonesian clerics issue yoga ban". BBC News. 25 January 2009. Dicapai pada 6 April 2010.
- ^ "Why give yoga religious connotation: Deoband". rediff News. 29 January 2009. Dicapai pada 5 September 2010.
- ^ a b c "Mixed reactions to yoga ban". The Star. 23 November 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Jun 2011. Dicapai pada 5 September 2010.
- ^ Top Islamic body: Yoga is not for Muslims Diarkibkan 2008-12-05 di Wayback Machine - CNN
Pautan luar
- https://www.sivayoga.org/ Yoga dalam teks-teks Tamil
- www.silambam.us Senaman Yoga dan kepentingan
- Pautan-pautan Yoga di Curlie